WARGA KERJA YANG CEMERLANG

Untuk menggambarkan siapakah pekerja cemerlang, saya ingin menceritakan kisah seorang wartawan menemu ramah tiga pekerja di sebuah tapak pembinaan. Tiga orang pekerja itu membuat kerja yang sama – menyimen dinding bangunan. Mereka bertiga telah ditanyakan dengan satu soalan yang sama. Berikut adalah soalan dan jawapan temu ramah itu:

 Wartawan: Awak sedang buat apa?

Pekerja 1: Apa awak buta ke? Tak nampak, saya sedang simen bangunan ini! (Wajahnya masam mencuka.)

 Wartawan: Awak sedang buat apa?

Pekerja 2: Saya sedang menandatangani cek gaji saya. (Wajahnya selamba.)

 Wartawan: Awak sedang buat apa?

Pekerja 3: Saya sedang membuat rumah untuk orang yang tidak punya rumah. Saya dapat bayangkan sebuah keluarga akan tinggal di rumah yang saya sedang buat ini. (Sambil tersenyum ceria.)

Anda tentu setuju kalau dikatakan bahawa pekerja ketiga ialah pekerja yang cemerlang. Walaupun ketiga-tiganya membuat kerja yang sama, di tempat yang sama dan diajukan soalan yang sama, tetapi pandangan mereka terhadap pekerjaan mereka tidak sama. Ada yang masam, selamba dan ceria. Betul kata orang tua dulu, “Rambut sama hitam, hati lain-lain.”

Ini menunjukkan bahawa faktor pekerjaan bukan menentukan keceriaan atau kemuraman kita, tetapi itu semua ditentukan oleh tanggapan kita terhadap pekerjaan tersebut. Ketiga-tiga pekerja di atas mempunyai tanggapan yang berbeza terhadap pekerjaan mereka dan ini menentukan tahap keceriaan mereka sewaktu melakukan kerja tersebut. Apakah tanggapan itu? Mari kita lihat lebih dekat.

a) Pekerja pertama bekerja kerana terpaksa.

Pekerja pertama ‘benci’ akan kerjanya. Dia bekerja secara terpaksa. Apabila bekerja kerana terpaksa, usah diharap akan kualiti dan kuantitinya. Pasti mengecewakan. Jika kita tidak menyukai kerja kita… Jangan tunggu lama-lama. Kita hanya ada dua pilihan. Pertama, tukar kerja. Kedua, tukar sikap kita terhadap kerja. Jadi, yang mana pilihan kita?

 Dalam banyak keadaan, pilihan kedua adalah lebih baik. Ya, tukarlah sikap kita terhadap kerja. Kata orang tua-tua:

“Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka apa yang kita dapat…”

Jangan biarkan diri kita terseksa dengan membuat kerja yang tidak kita sukai. Sebaiknya, ambillah langkah pembetulan – yakni tukar sikap kita terhadap kerja.

Jika kita masih enggan menukar sikap dan terus melakukan pekerjaan atau tugasan dengan rasa benci, bukan sahaja kualiti pekerjaan kita akan terus merosot tetapi kualiti kehidupan kita juga turut merosot. Kita bukan sahaja ‘menyeksa’ majikan dengan tahap produktiviti yang rendah, tetapi kita juga menyeksa diri sendiri dengan tahap keceriaan dalam hidup yang rendah.

Perlu diingat, siapa yang tidak bahagia di tempat kerja, tidak akan bahagia dalam hidupnya. Mengapa? Ini kerana banyak masa dalam kehidupan dihabiskan di tempat kerja berbanding di tempat yang lain. Begitu juga dari segi kualiti masa – masa yang paling utama, segar dan bertenaga kebanyakannya dihabiskan di tempat kerja berbanding bersama keluarga sendiri di dalam rumah.

b) Pekerja kedua bekerja untuk menerima.

Pekerja kedua lebih bermotivasi daripada pekerja pertama. Dia bekerja atas dorongan hendak ‘menerima’. Pekerja ini digerakkan oleh dorongan untuk mendapat keuntungan. Ada kerja ada gaji. Pekerja ini akan bekerja di tahap biasa-biasa sahaja. Bahkan dia akan menjadi terlalu berkira dengan masa. Buat apa kerja lebih-lebih… bukan dapat gaji lebih! Itu prinsip mereka.

 Walaupun begitu, pekerja kedua adalah ‘lebih baik’ daripada pekerja pertama, tetapi masih tidak boleh dikatakan seorang pekerja yang cemerlang. Dia tidak ada rasa kepunyaan (ownership) dalam pekerjaannya. Limit atau tahap produktiviti dan kualiti kerjanya hanya sebatas gaji, bonus dan lain-lain imbuhan material. Mana mungkin dia bekerja sepenuh tenaga dan sepenuh hati kalau masih merasakan kerja itu bukan kepunyaannya!

c) Pekerja ketiga bekerja untuk memberi.

Pekerja ketiga paling ceria kerana dia memikirkan bagaimana untuk ‘memberi’. Menerusi kerjanya, dia bukan sahaja berfikir untuk ‘menerima’ seperti pekerja kedua, lebih daripada itu dia berfikir bagaimana untuk ‘memberi’. Melalui pekerjaannya, dia berasa telah memberi khidmat, kebaikan, jasa dan bakti kepada orang lain.

 Pekerja ketiga bekerja bukan kerana terpaksa (seperti pekerja pertama) atau untuk menerima (seperti pekerja kedua), tetapi dia bekerja untuk memberi. Dialah pekerja yang cemerlang. Tanggapannya terhadap kerja jauh lebih tinggi daripada yang lain, kerana dia bekerja untuk memberi!

 Dengan sikap memberi, kita menjadi lebih gembira berbanding menerima. Bagaimana hal ini terjadi? Jawabnya, memberi akan menggembirakan kita dengan syarat ‘kita memberi dengan kasih sayang’. Tanpa adanya rasa kasih sayang, memberi tidak akan menggembirakan kita. Lihat bagaimana ibu bapa lebih gembira melihat kejayaan anaknya. Sedangkan ibu bapa itulah yang bertungkus-lumus ‘memberi’ segala-galanya untuk kejayaan anaknya. Semuanya kerana kasih sayang.