SIKAP  SUKAR, TETAPI  BOLEH  DIUBAH

  

Untuk mengubah akal, hati dan nafsu, seseorang mesti melalui tiga proses secara
tertib dan berkesinambungan supaya akal ‘tahu’, hati ‘mahu’ dan diri ‘mampu’.

 

Rasulullah    pernah mengakui bahawa jika dikatakan kepadanya Bukit Uhud telah berubah, Baginda mudah mempercayainya berbanding jika dikatakan seseorang itu berubah. Ya, Rasulullah    – pemimpin yang telah berjaya merubah sikap manusia itu – pun mengakui sukarnya mengubah sikap manusia. Gunung boleh berubah, hati manusia tidak semudah itu. Gunung boleh diratakan dengan dinamit dan buldozer, tetapi hati manusia yang rakus dan angkuh begitu sukar sekali dilentur dan diubati.

 

 

Namun begitu, sikap bukanlah suatu yang mustahil untuk diubah. Jika kena formula dan caranya, ia boleh diubah. Bagaimana hendak mengubah sikap? Pelbagai kaedah telah dan sedang dibuat untuk mengubah sikap manusia. Namun, sebagai umat Islam kita yakin bahawa Islam mempunyai kaedahnya yang tersendiri untuk mengubah sikap manusia. Kaedah Islam bukan bersifat ‘trial and error’ tetapi mutlak dan terjamin kejayaannya. Islam datang dari Allah – Tuhan yang mencipta manusia. Maka sudah tentu Allah-lah yang Maha Arif tentang bagaimana hendak mengubah sikap manusia.

 

 

Kaedah ini datangnya secara langsung (direct) daripada Allah dan disampaikan kepada Nabi Muhammad  . Bahkan kedatangan para rasul, khususnya Nabi Muhammad    adalah untuk mengubah sikap manusia yang buruk kepada berakhlak. Sabda Rasulullah  :

 

 

 

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ

 

“Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.”

(Riwayat Baihaqi)

 

 

 

KEJAYAAN ISLAM MERUBAH SIKAP – BUKTI SEJARAH

 

Dengan memilih Islam, kita sebenarnya telah memilih satu kaedah yang telah terbukti berjaya merubah sikap manusia. Ini bukan lagi andaian atau teori tetapi satu fakta dan realiti. Bukti sejarah menunjukkan betapa Islam telah merubah seorang individu yang begitu kasar dan keras seperti Umar bin Al-Khattab, menjadi seorang hamba Allah dan khalifah yang sangat adil semasa memerintah. Setelah memeluk Islam, beliau bukan sahaja mengasihi anak yatim dan anak-anak miskin malah menjaga kebajikan anak-anak kambing.

 

 

Sayidina Umar pernah berkata, “Jika seekor anak kambing mati di tepi Sungai Dajlah, aku takut Umar akan ditanya oleh Allah mengenainya.” Oleh kerana itu, Umar memerintahkan para pegawainya agar membetulkan jalan-jalan di lereng-lereng bukit, agar anak kambing yang melaluinya tidak jatuh tergelincir.

 

 

Itu secara individu, manakala secara kelompok pula, Islam telah berjaya mengubah sikap Arab Jahiliah daripada satu bangsa yang ‘haprak’ dan pernah digelar ‘belalang padang pasir’ oleh Rom dan Parsi (kerana tidak ada nilai ekonomi dan politik untuk dijajah) kepada satu bangsa yang terbaik dan akhirnya menjadi pembina empayar yang pernah menguasai tiga perempat dunia dalam masa yang relatif singkat (lebih kurang 30 tahun sahaja). Perubahan inilah yang disebut oleh Prof Dr. Hamka sebagai ‘ satu revolusi jiwa’ yang paling hebat dalam sejarah kemanusiaan.

 

 

 

REVOLUSI ATAU EVOLUSI?

 

Sesetengah ahli sejarah pula mengatakan perubahan yang dicetuskan oleh Islam itu berlaku secara evolusi kerana ia berlaku secara rela dan natural tanpa wujudnya unsur desakan dan paksaan apalagi pertumpahan darah sepertimana yang berlaku dalam revolusi-revolusi besar dunia. Revolusi Perancis dan Rusia misalnya, memakan korban yang sangat ramai berbanding ‘revolusi’ Islam yang dilakukan oleh Nabi Muhammad  .

 

Namun sesetengah pengkaji sejarah tetap mengatakan bahawa perubahan yang dicetuskan oleh Nabi Muhammad   adalah satu revolusi, bukan evolusi. Ini kerana ia berlaku dalam jangkamasa yang sangat singkat tetapi memberi kesan yang sangat besar dan menyeluruh. Bayangkan, betapa dalam masa yang sangat singkat, pemuka-pemuka Arab yang begitu ego seperti Amru Al-Ash, Abu Sufian Harb, Khalid bin Walid dan lain-lain sanggup meletakkan dahi ke tanah untuk sujud menyembah Allah. Sedangkan sebelum memeluk Islam, untuk menunduk mengambil cemeti kuda yang jatuh pun mereka tidak mahu (kerana terlalu ego).

  

Seperkara lagi, perubahan yang dihasilkan oleh Islam adalah perubahan tanpa kesan sampingan (side-effect), bersifat bersepadu (integrated) dan menyeluruh (holistik). Islam misalnya, berjaya melahirkan individu seperti Sayidina Umar r.a. yang bukan sahaja pemimpin yang terkenal takutkan Allah, tetapi beliau juga sangat produktif dan progresif dalam tugas dan tanggungjawabnya sesama manusia. 

 

 

Ketika ditanya mengapa sedikit sekali tidurnya pada malam hari, beliau menjawab, “Aku takut urusanku dengan Tuhan tidak selesai.” Ketika ditanya mengapa dia kurang tidur pada siang hari pula, beliau menjawab, “Aku takut urusanku dengan manusia tidak selesai.”

 

 

Jelas sekali perubahan yang dilakukan oleh Islam terhadap manusia adalah perubahan yang bersifat sepadu berhubung dengan Allah dan dengan sesama manusia, pembangunan material dengan spiritual, dunia dengan akhirat. Perubahan itu tidak bersifat ‘berat sebelah’ atau pincang.

 

 

Islam tidak menghasilkan generasi rahib yang hanya akrab dengan Tuhan tetapi membelakangkan tanggungjawab sesama insan. Islam tidak menghasilkan umat yang hanya maju di bidang material dan pembangunan fizikal tetapi miskin akhlak dan budi. Jadi tidaklah hairan jika the unic generation of Al-Quran pimpinan Rasulullah   itu berjaya mendapat keredhaan Allah dunia dan akhirat.