RASULULLAH   PALING BANYAK MEMBERI

Sikap memberi Rasulullah telah diteruskan oleh para Sahabat, tabiin, tabi’ tabiin dan umumnya salafussoleh.

Islam ialah agama yang sangat sinonim dengan amalan memberi. Kedatangan Rasulullah ﷺ adalah untuk memberi rahmat kepada sekalian alam. Sejarah hidup Rasulullah ﷺ memaparkan bagai­mana Baginda memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat. Baginda memberi segalanya itu supaya manusia mendapat hidayah Islam.

Bahkan salah satu daripada sifat yang wajib bagi Rasulullah ﷺ ialah tabligh, iaitu menyampaikan. Bukankah sifat itu sangat rapat dengan sikap memberi? Apa yang Baginda terima sebagai wahyu daripada Allah akan terus disampaikannya (diberikannya) kepada umat tanpa disembunyikan hatta satu ayat pun. Begitu tulus dan telus Baginda dalam memberi.

Sejarah kehidupan Rasulullah ﷺ merakamkan Baginda memberi bukan sahaja sewaktu senang, bahkan semasa susah. Sewaktu susah, Rasulullah ﷺ memberi penuh kesabaran. Sewaktu senang, Baginda memberi dengan kesyukuran. Orang Arab Badwi yang menerima kambing pemberiannya pernah berkata, “Dia memberi tanpa takut kepada kekurangan.”

Menurut sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhamad ﷺ bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصبِحُ العِبادُ فِيهِ إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلانِ، فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ: اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

 “Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu malaikat berdoa, ‘Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau mensedekahkan) hartanya.’ Sedangkan malaikat yang kedua berdoa, ‘Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil.’” (Riwayat al-Bukhari)


Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, sifat memberi Baginda lebih terserlah daripada biasa. Sehingga disifatkan umpama ‘angin kencang’ yakni sangat laju dalam memberi sedekah dan hibah.

Daripada Ibn Abbas r.a., beliau berkata:


كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ، وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ.

“Adalah Rasulullah orang yang paling pemurah dan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan tatkala Baginda bertemu Jibrail, Jibrail akan memenuhi malam Ramadan dengan bertadarus al-Quran. Padahal Rasulullah apabila bertemu Jibrail, Baginda lebih pemurah menyumbang kebajikan malah lebih kencang daripada angin yang kencang.” (Riwayat Bukhari)

 

Semasa peristiwa Fath al-Makkah (pembebasan kota Makkah) yang bersejarah itu, Baginda telah memberi kemaafan kepada pemimpin kafir Quraisy. Mereka pernah menzalimi Baginda, hatta pernah mereka berusaha untuk membunuh Baginda, namun dilupakan begitu sahaja oleh Baginda.

Pernah juga Baginda tidak dapat tidur kerana memikirkan kalau-kalau masih ada wang berbaki yang belum disedekahkan. Dan pada saat-saat kritikal menjelang kewafatannya pun, Baginda masih sempat memberi peringatan kepada umatnya mengenai kepentingan solat, walaupun dengan kata-kata yang terputus-putus… “Assolah, assolah…” Baginda masih memberi peringatan!

Sikap memberi Rasulullah ﷺ ini (menyampaikan risalah Islam) telah diteruskan oleh para Sahabat, tabiin, tabi’ tabiin dan umumnya salafussoleh. Generasi yang hidup 300 tahun selepas Rasulullah ﷺ SAW ini terus memberi masa, tenaga dan jiwa mereka untuk menyebarkan dakwah, menyampaikan ilmu dan memberi bimbingan kepada seluruh umat manusia hingga dengan itu Islam tersebar di seluruh dunia.

Bayangkan apa akan jadi kepada manusia dan dunia jika sikap memberi itu terhenti selepas kewafatan Rasulullah ﷺ ? Tentu sahaja dunia akan gelap dan manusia akan terus kufur. Sejarah men­catatkan 2/3 daripada para sahabat Rasulullah ﷺ mati di luar Tanah Arab, yakni dalam memikul tugas menyampaikan Islam.