Malam ini aku seolah-olah kembara dalam satu perjalanan yang sunyi. Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah aku telah berjaya?

Kata, bijak pandai: Ini soal yang tidak relevan. Justeru menurut mereka, orang yang berjaya tidak sempat bertanya apakah aku telah berjaya seperti mana orang yang bahagia tidak akan bertanya apakah aku bahagia?

Pedulikan kajian dan ungkapan sarjana. Aku kendalikan hidup ku sendiri dan bebas memberi erti dan makna tanpa terikat dengan tesis dan hipotesis. Aku bebas menjadi raja pada diri sendiri selagi terus tunduk sebagai hamba Ilahi. Di mana ukuran kejayaan ku? Aku gagal atau berjaya?

Sering dibisikkan kepada hati, kejayaan itu apabila tercapai tujuan hakiki dalam hidup. Lalu apakah tujuan hidup itu? Ini soalan asas yang sejak dahulu telah diberitahu bahawa tujuan hidup adalah menjadi hamba kepada Allah – IBADAH.

Ah, mudahnya. Tetapi tidak semudah itu apabila istilah ibadah itu hendak ‘ditulis’ dalam kehidupan. Sering sekali tujuan dibayangi keperluan, hingga alat bertukar menjadi matlamat bila memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat. Acapkali keperluan hidup (makan, minum, kenderaan, rumah, harta) bertukar menjadi TUJUAN hidup.

Padahal, tujuan itulah yang pertama dan utama. Keperluan itu hanya perkara kedua yang datang selepasnya. Tujuan itu mengabdikan diri kepada Allah penuh seluruh. Manakala makanan, pakaian, kediaman, kenderaan dan harta serta dunia segalanya hanya keperluan hidup. Tujuan itu ialah rasa kehambaan – takut, cinta, harap, taat – seorang hamba kepada Allah. Keperluan itu ialah alat mencapai tujuan. Tujuan itu letaknya di hati. Manakala keperluan itu harus di letakkan di tangan. Apakah hatiku sarat dengan TUJUAN? Atau alpa hanya memburu membanyakkan keperluan di tangan?
Ah, malang sekali jika aku merasakan kejayaan itu hanya apabila tercapainya keperluan. Pada hal, hati dan diri masih jauh daripada berjinak-jinak dengan Allah. Jiwa masih liar. Nafsu masih buas. Dan tanpa disedari sering juga keperluan dimertabatkan sebagai tujuan. Cinta Allah tersisih, takutkan Allah terpinggir, hanya kerana keperluan yang dicari tanpa henti atau yang telah melimpah tanpa batas tapi tak pernah puas!

Dan lebih aneh kalau ukuran kejayaan telah tertukar tanpa sedar. Kita mengukur ertinya pada neraca keperluan bukan tujuan. Aku lebih berjaya, kalau harta, rumah dan kenderaan ku mewah dan bertambah. Padahal di neraca tujuan, timbangan cinta, takut dan harap mu kepada Allah kian ringan. Kekadang, pandai mula syaitan berkias kata, berkilas rasa… katanya, kau mencari segalanya kerana Allah jua. Kalau kerana Allah, bagaimana hati mu?

Jika benar harta dan milik mu itu kerana Allah jua, bagaimana rasa hati mu ketika mencari, mengurus dan mentadbirnya? Apakah segala-galanya diurus tadbir dengan rasa takut, cinta dan mengharap keampunan-Nya? Bagaimana pula dengan solat mu, kian khusyuk? Bagaimana dengan puasa mu, sudah soleh? Bagaimana dengan zakat dan sadakah mu sudah luhur? Bagaimana dengan mazmumah mu telah lebur?

Hati ‘besar mu’ boleh menipu wahai diri… tetapi ‘hati kecil mu’ tidak mampu menipu. Hati kecil mu sentiasa tidak rela dan tega untuk menipu diri sendiri! Dialah yang paling terseksa apabila kau mengukur kejayaan berdasarkan keperluan, bukan tujuan! Makanan dan ubat jiwa bukan harta… tetapi cinta. Cinta Allah dan takut kepada-Nya.

Malam kian larut. Mata tidak mahu tidur diheret dalam kembara hati yang bersimpang-siur. Apakah destinasi ku saat ini? Apakah tujuan atau keperluan? Kembara hati ku terus melangkaui dinihari… Hati besar dan hati kecil terus berebut untuk mengendali kemudi diri! Ya, Allah… benarlah seperti yang dirintihkan oleh Sayidina Ali di satu ketika di malam-malam begini, “Wahai dunia, janganlah tipu aku… janganlah tipu aku… aku telah ceraikanmu dengan talak tiga!”