KENAPA KEMPEN ‘TAK NAK ROKOK’ BELUM BERKESAN?

 

 

Untuk melihat lebih dekat tentang perbandingan pengaruh tahu, mahu dan mampu ini, lihat pada perokok. Siapa yang tidak tahu rokok memudaratkan kesihatan? Di kotak rokok telah tertera peringatan tentang bahaya merokok. Ironinya, masih ramai yang merokok sedangkan mereka tahu akan bahayanya… termasuk para doktor sendiri! Jadi, tahu sahaja akan bahaya rokok tidak memadai, tetapi mesti mampu meninggalkannya.

 

 

Bagi yang mahu meninggalkannya pula berdepan dengan ujian getir. Misalnya, ada yang meninggalkan merokok sepanjang siang bulan puasa tetapi sebaik sahaja berbuka… mereka kembali merokok. Ada juga yang meninggalkan merokok sepenuhnya sebulan puasa, tetapi merokok semula apabila tamat bulan Ramadan. Kenapa? Mereka hanya tahu dan mahu tetapi tidak mampu meninggalkannya.

 

 

Jadi, jelas sekarang bahawa untuk berjaya dalam kempen ‘Tak Nak Rokok’, masyarakat tidak cukup sekadar dibekalkan maklumat tentang bahaya rokok, tetapi mesti dididik dan dilatih agar mahu dan mampu meninggalkanya.

 

 

 

PROSES YANG BERTAHAP-TAHAP

 

 

Ketiga-tiga proses di atas (tahu, mahu dan mampu) tidak boleh dijalankan secara mendadak. Ini kerana perkembangan elemen dalaman (mental, spiritual dan emosi) sama seperti perkembangan fizikal manusia. Kedua-duanya tertakluk kepada Sunnatullah (law of nature) – berkembang secara bertahap-tahap. Fitrah tabi’i manusia tidak dibentuk sekelip mata ataupun secara instant. Perubahan sikap mengambil masa.

 

 

Umpama pertumbuhan sebatang pokok. Ia bermula dengan penanaman biji benih, percambahan akar, tunas, batang, ranting, daun, putik dan akhirnya berbuah.

 

 

Rasulullah SAW sendiri merubah sikap manusia secara bertahap-tahap. Cerdik pandai mengungkapkan, “Membina mengambil masa tapi meruntuh sekelip mata.” Rasulullah SAW berjuang selama 23 tahun. Baginda bermula dengan memberi kesedaran dengan penyebaran dakwah, memberi ilmu melalui proses pengajaran, membentuk keperibadian dan watak melalui proses tarbiah dan akhirnya memimpin mereka untuk melaksanakan sistem hidup Islam ke tahap yang lebih luas di peringkat Madaniah.

 

 

Ketika di Madinah itu barulah sistem hidup Islam dibangunkan (yakni dalam jangka masa 10 tahun) setelah orang yang hendak membangunkan sistem itu diberi ilmu (tahu), ditarbiah keyakinannya (mahu), dan dilatih (mampu) selama 13 tahun.

 

 

Usaha mengubah sikap tidak boleh dilakukan secara drastik (mendadak) dan bukan melalui paksaan. Tetapi ia mesti dilakukan secara bertahap-tahap, sistematik, berterusan, penuh kerelaan dan akhirnya mandiri (swadaya). Telah diterangkan sebelum ini bahawa sikap umpama pintu yang terkunci dari dalam. Maksudnya, ia tidak boleh ‘dibuka’ dari luar. Tidak ada orang yang boleh memaksa perubahan sikap orang lain, melainkan diri orang itu sendiri dengan rela mengubahnya.