IKAN DI LAUT MASIN

Para muttakin umpama ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Sebab itu ingin ditegaskan bahawa keyakinan kepada diri sangat berkait dengan keyakinan kepada Allah. Maksudnya, siapa yang lebih kuat keyakinan kepada Allah, maka dialah yang paling kuat keyakinannya terhadap diri sendiri!

Ketika ditanya, siapakah orang yang paling kuat? Nabi Muhammad SAW menjawab: “Orang yang dapat menguasai marahnya.”

Sayidina Umar bin Al-Khattab pernah berkata: “Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku, nescaya aku tidak akan meminumnya.”

Sayidina Umar bin Abdul Aziz pernah berkata:

“Aku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap. Sebaliknya aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap.”

Hukama pula ada berkata, “Kuasai diri kamu, nescaya kamu akan dapat menguasai dunia ini.”

Rahsia kejayaan ‘orang besar’ itu terletak kepada kemampuan mereka menguasai diri sendiri. Dan dengan itu, barulah mereka berjaya mengubah, mempengaruhi dan memimpin orang lain. Ini mengingatkan kita kepada satu madah yang berbunyi:

“Jangan kamu marah jika orang lain tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki jika kamu sendiri tidak berubah seperti yang kamu kehendaki.”

Tegasnya, ‘kekuatan’ dalam diri adalah apabila kita dapat melakukan sesuatu yang perlu dilakukan dan meninggalkan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kita ingin kuat. Kuat dalam ertikata dapat menentukan arah hidup dan jalan hidup kita sendiri. Kuat untuk menghadapi rintangan dan akhirnya meraih kejayaan. Kuat untuk mengakui kesalahan dan memperbaikinya.

Kita juga ingin kuat untuk bertanggungjawab terhadap keputusan yang dipilih dan sanggup menanggung risikonya. Kuat untuk berhijrah dari ‘zon selesa’ tapi penuh kebekuan untuk menuju ‘zon mencabar’ yang penuh dugaan, tetapi di situlah letaknya kejayaan dan kecemerlangan.

Jadi, kita bagaimana? Ingin terus dalam zon selesa? Tidak mungkin. Jadi, keluarlah menuju zon yang mencabar – dan bersiap sedialah menghadapi kata nista, cerca dan hina musuh-musuh kita. Jangan terus salahkan musuh. Apa mereka yang hendak kata, katalah… asalkan apa yang kita lakukan halal, wajib, sunat atau harus di sisi Allah.

Siapa yang mengharap keredhaan manusia, pasti akan kecewa. Nampak gah seketika, tetapi akhirnya merudum di telapak kaki manusia yang dipuja-pujanya itu! Itu lumrah orang berjuang. Yang penting, binalah keyakinan diri. Dan kemudian ubahlah diri, nescaya dunia akan ‘berubah’ mengikut perubahan kita!

Itulah sedikit huraian tentang keyakinan diri – bagaimana ia membentuk sikap orang yang berjaya dunia dan akhirat.