DIRI DI KACA CERMIN HATI     

 

Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti).

 

 

Sebenarnya diri kita juga boleh dilihat dengan empat pandangan. Cuba bayangkan, kita di hadapan cermin. Apabila kita memandang dengan pandangan biasa (hari-hari kita memandangnya begitu), kita akui itulah diri kita. Kemaskan rambut, betulkan tudung atau rapikan baju, lalu kita berlalu. Itulah pandangan mata biasa. Tetapi ada orang yang melihat dirinya dengan pandangan akal. Bagaimana?

 

Dengan akal fikiran, berlakulah analisis diri sendiri terhadap wajah yang dipantulkan oleh cermin. Ah, semakin tembam aku ini. Semakin putih wajahku. Oh, sudah ada garis-garis kedut di pelipis mata. Begitulah hasil analisis akal menerusi pandangannya. Hasil pandangan itu, kita pun bertindak mengurangkan berat badan, membetulkan kedudukan pakaian, menggunakan bahan kosmetik untuk merawat wajah dan berazam untuk memulakan diet atau senaman.

 

Diri kita juga boleh dilihat dengan pandangan nafsu. Katalah, kita masih pada usia muda (remaja). Muda hanya sekali, begitu bisik pandangan nafsu. Jangan disia-siakan peluang yang datang hanya sekali ini. Maka nafsu yang sentiasa merangsang kepada kejahatan ini akan memberi ‘nasihat’ jahatnya. Mana lagi disko, pusat dangdut dan tempat-tempat peleseran yang belum didatangi. Tunggu apa lagi, ayuh pergi! Begitulah pandangan nafsu oleh orang muda.

 

MUDA DI DUNIA VS MUDA DI SYURGA

 

Bagi orang yang telah tua pula, pandangan nafsu ada helahnya tersendiri. Eh, engkau belum tua lagi. Apakah kau lupa, “Life begins at forty. Man is like wine…” Akibatnya, orang tua tidak berasa tua lagi – miang-miang keladi, makin tua makin jadi. Maksiat terus diratah sebanyak-banyak dan secepat-cepatnya, seolah-olah pasukan bola yang memburu gol pada waktu kecederaan.

 

Apabila diingatkan, datuk dah senja ni… Dia tidak akan menerimanya, bahkan istilah orang tua kerap ditukar menjadi ‘orang lama’. Ya, mungkin si tua yang didominasi pandangan nafsunya ini, sudah pencen dalam kerjayanya tetapi belum pencen dalam melakukan dosa.

 

Bagaimana pula orang yang melihat dirinya dengan pandangan mata hati? Orang muda akan menghargai umurnya dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Muda bukan sekali, tetapi dua kali. Begitu bisik hatinya. Kali pertama adalah umur muda di dunia yang bersifat sementara. Manakala muda kali kedua adalah muda di dalam syurga yang abadi selamanya (menurut sesetengah ulama, umur ahli syurga sekitar 30-an).

 

Orang muda yang dipengaruhi oleh pandangan mata hati ini insaf bahawa muda adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka ini sedar bahawa antara soalan yang akan ditanyakan di Padang Mahsyar nanti adalah, ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan? Allah tidak bertanyakan umur tua, ini kerana umur muda adalah prime time (masa yang sangat berharga) untuk seseorang manusia, dan alangkah baiknya jika ‘aset’ yang sangat berharga ini diserahkan kepada Allah? Bukankah itu petanda kita benar-benar mencintai-Nya?

 

Lalu hati orang muda itu pun berazam, jika demikian aku akan gunakan umur muda yang sementara ini untuk mendapat umur muda yang kekal abadi di syurga. Demikianlah azam orang muda yang memandang dengan pandangan mata hati. Lalu dia akan menyegerakan amalan kebaikan, tidak bertangguh-tangguh taubat dan segera meninggalkan kejahatan. Usia muda dianggap sebagai satu kesempatan, bukan satu penangguhan. Rasulullah SAW bersabda:

 

مَا مِنْ شَيْءٍ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ شَابٍّ تَائِبٍ  

“Tiadalah perkara yang lebih disukai oleh Allah melainkan pemuda yang bertaubat.”

(Riwayat Imam al-Jurjani)

 

Sekarang bagaimana? Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana? Pandangan mata, akal, nafsu atau hati? Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap kali bercermin muka, kita disunatkan membaca doa berikut:

 

اللَّهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي، فَحَسِّنْ خُلُقِي

     “Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan ciptaan wajahku,

                        maka Kau sempurnakanlah pekertiku.”

 

Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti atau akhlak kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.

 

 

Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan berkedut, reput bahkan hancur dimamah ulat, cacing dan tanah. Tetapi diri kita yang hakiki adalah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

 

 

Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”

 

Kata pantun Melayu:

Pisang emas dibawa belayar,

Gunung Daik bercabang tiga,

Hutang emas boleh dibayar,

Budi baik dikenang jua.

 

 

IKTIBAR DARIPADA TONGKAT IMAM SYAFI’I

 

Manakala orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati pula akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan ‘berpatah arang’ dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka. Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat.

 

Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Syafi’i r.m. misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat. Orang keliling kehairanan, justeru Imam Syafi’i seorang yang masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah tepat dan penunggang kuda yang cekap?

 

Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa beliau bertongkat, Imam Syafi’i berkata, “Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah kuterima selama ini. Aku tidak perlukan itu lagi… Tumpuan sepenuh hatiku sekarang adalah menuju Allah!”

 

Demikian ‘orang tua’ yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafi’i tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat ‘pengingat’ seperti beliau, sebaliknya mencari tongkat ‘penggiat’ – tongkat Ali!

 

Cukuplah setakat itu penjelasan saya tentang empat pandangan manusia dalam kehidupan ini. Sekarang saya ingin kembali kepada persoalan asas yang menjadi teras dalam kehidupan ini iaitu apakah yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran?

 

Celik mata hati adalah apabila seseorang dapat melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup (yakni Yang Maha Pencipta – Allah). Inilah pandangan hidup (worldview) yang paling tepat. 

 

2 thoughts on “DIRI DI KACA CERMIN HATI”

  1. Idawati binti Alias

    Coretan ustaz terbaik. Usia muda dan sihat digunakan untuk beribadah. Itulah nikmat yang tak terhingga yang Allah kurniakan. Rebutlah peluang semasa hidup jangan dibiarkan ,Allahuakbar!

Comments are closed.