MUQADDIMAH CELIK MATA HATI

 

Islam perlu kembali menjadi cara hidup, bukan semata-mata cara mati.

Kita perlu kembali ke pangkal – back to basic. Untuk itu bermulalah dengan diri sendiri. Mari kita selami dan kenali siapa kita yang sebenarnya Kita hayati kata-kata hukama ini: “Untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki manusia, baiki hatinya.”

 Masalah manusia bermula dan berpunca daripada hati! Sabda Rasulullah SAW:

وَإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ

“Dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah, daging itu ialah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh kerana hati bersifat dalaman maka untuk menyelesaikan masalahnya, ia mesti juga dengan kaedah yang bersifat dalaman juga. Kaedah inilah yang akan diperjelaskan dalam buku ini. Kita akan bermula dengan terlebih dahulu melihat segala masalah menerusi pandangan ‘mata hati’.

Apakah itu pandangan ‘mata hati’? Insya-Allah, ini akan diperjelaskan nanti.

 Buku ini secara langsung akan turut membincangkan tiga kecerdasan manusia yang utama, yakni S.Q. (kecerdasan rohani), I.Q. (kecerdasan akal) dan E.Q. (kecerdasan emosi). Ketiga-tiganya akan disentuh secara mudah dan terus kepada maksud.

Walau bagaimanapun, itu sekadar istilah. Pokok pangkalnya, pendekatan buku ini berteras dan berasaskan sistem keyakinan kepada Allah dan Hari Akhirat (iman) – kembali kepada Allah. Apa yang menjadi dasar pijak atau tapak lonjak dalam penulisan buku ini ialah tauhid – soal pertama dan utama dalam apa jua yang kita fikirkan, pertimbangkan dan ambil tindakan.

Back to basic ertinya kembali kepada tauhid!

MELIHAT DIRI – DARI MANA, UNTUK APA DAN KE MANA?

Melihat diri sendiri adalah suatu tindakan yang paling menarik untuk dilakukan. Tidak percaya? Jika kita bergambar beramai-ramai, gambar siapakah yang kita cari dahulu setelah foto itu siap? Ya, gambar kita bukan? Ini soal fitrah. Manusia tertarik dengan diri sendiri sebelum tertarik dengan orang lain.

Dalam buku ini, kita diajak mengenal ‘rupa’ dalaman kita, bukan rupa luaran. Bukan hidung, mata, kaki dan muka yang hendak ditenung tetapi ‘anggota dalaman’ kita – hati, akal dan nafsu, itulah yang hendak direnung.

Untuk menyelesaikan masalah-masalah dalam hidup, kita perlu mengetahui terlebih dahulu soal utama dan pertama. Yakni apakah tujuan Allah menghantar kita ke dunia ini? Apakah visi (apa yang kita hendak capai pada masa akan datang) dan misi (bagaimana atau untuk apa keberadaan kita di dunia ini)?

Penghayatan terhadap visi dan misi inilah yang melahirkan kesungguhan untuk ‘bekerja’ di dunia secara optimum demi menuai hasil yang maksimum di akhirat. Pakar psikologi telah menegaskan bahawa salah satu faktor yang menentukan kejayaan seseorang adalah mempunyai visi dan misi yang tepat dan jelas dalam hidup. (Insya-Allah, hal ini akan diperincikan dalam bab yang berkaitan nanti.)

Dari mana kita datang? Untuk apa kita dijadikan? Dan ke mana kita pergi selepas ini? Ini adalah tiga persoalan asas dan teras dalam hidup kita. Dan dari sinilah ‘cerita’ kejayaan dan kebahagiaan manusia bermula…

SKRIP KEHIDUPAN – OLEH ALLAH ATAU MANUSIA?

Buku ini akan menjelaskan ‘skrip kehidupan’ yang sebenar. Hakikatnya, kita dihidupkan tanpa diminta oleh kita sendiri (anda dan saya tidak pernah mengisi borang untuk datang ke dunia ini). Kita diciptakan dengan ihsan Yang Maha Pencipta.

Oleh sebab kita tidak pinta lahir ke dunia maka sudah pasti kita tidak tahu apakah sebenarnya misi atau ‘reason for existence’ kita di dunia ini. Atas sebab apa sebenarnya kita lahir ke dunia? Persoalan visi dan misi hidup inilah persoalan utama yang akan dihuraikan dalam buku ini.

Ironinya, sebagaimana ramai yang tidak tahu apakah tujuan dihidupkan, begitu jugalah ramai yang tidak tahu apakah tujuan kita dimatikan. Padahal tujuan hidup dan tujuan mati saling berkaitan. Hubungan kesalingan antara mati dan hidup ini dijelaskan oleh bijak pandai:

“Siapa yang tidak tahu untuk apa ia perlu mati, dia tidak layak hidup!”

Tujuan hidup dan mati telah ditentukan oleh Allah. Kita mesti tahu tujuan itu dan bertindak selaras dengannya. Buku ini akan menyingkap persoalan mati untuk memberi semangat meneruskan hidup. Itulah ‘skrip kehidupan’ yang ditentukan Allah buat insan. Malangnya, manusia sering mencipta skrip hidup “rekaannya” sendiri. Skrip hidup ciptaan manusia pasti berakhir dengan kegagalan dan kemusnahan. Sering terjadi, yang kita inginkan melayang, yang dibenci pula bertandang. Tadbir kita hancur dilanda takdir.

Jadi, apa impilikasinya?